fb

Nov 27, 2010

Memahami stress dalam hubungan percintaan

ABSTRAK

Stress berlaku dalam semua aspek kehidupan. Adakalanya stress membawa kesan yang positif dan individu yang mengalami stress positif akan merasa lebih bersemangat untuk menghadapi kehidupan. Tidak kurangnya juga stress yang membawa kesan negatif dan individu yang mengalami stress negatif akan merasa sangat tertekan dan hilang kemampuan untuk berfungsi secara optima.

Percintaan juga boleh mengakibatkan stress yang tidak kurang hebatnya. Stress negatif dalam percintaan akan memalapkan api kemesraan dan mungkin memusnahkan perhubungan cinta tersebut sekiranya tidak ditangani dengan segera dan berkesan. Oleh itu, kertas kerja ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman tentang stress di kalangan pasangan yang bercinta dan membantu mereka melengkapi diri dengan cara-cara menangani stress semasa bercinta. Ia juga akan membincangkan perkara-perkara yang perlu dielakkan semasa bercinta agar stress dapat dikurangkan atau dielakkan sama sekali. Akhir sekali, kertas kerja ini akan membincangkan beberapa teknik pengurusan stress yang praktikal dan berkesan untuk membantu individu yang sedang atau merancang untuk membina hubungan yang mesra dan berkekalan.


PENDAHULUAN

Kita sering mengaitkan percintaan dengan sesuatu yang indah. Pengalaman bercinta dikatakan sebagai mengasyikkan, penuh bermakna dan tidak boleh dilupakan. Memang ada kebenaran di sebalik pandangan ini namun secara realitinya tidak semua kisah cinta menjanjikan seribu satu kenangan indah. Banyak juga yang menghadapi cabaran, kekecewaan dan kegagalan dalam percintaan dan ini menyebabkan individu yang terlibat mengalami stress. Banyak kajian mengaitkan stress dalam kehidupan sebagai punca kepada kegagalan sesuatu perhubungan tetapi agak kurang kajian yang menyatakan bahawa perhubungan itu sendiri boleh menyebabkan kejadian stress di kalangan pasangan yang bercinta. Benarkah cinta yang dianggap indah dan suci boleh menyebabkan stress kepada individu? Malah akibat daripada stress percintaan ini ada individu yang mengambil jalan mudah seperti ingin membunuh diri atau pun tidak kurang yang mengalami gangguan mental kerana kegagalan untuk menangani stress tersebut.

DEFINISI STRES

Stress boleh dilihat sebagai desakan atau tekanan yang dihadapi oleh individu berikutan peristiwa yang berlaku padanya (Selye, 1976). Tekanan ini memerlukan seseorang untuk menyeimbangkan tuntutan perubahan dengan keupayaan yang ada pada dirinya.Kegagalan untuk mencapai keseimbangan inilah yang akan menyebabkan stress.

Stress boleh dilihat secara positif atau dikenali dengan nama eustress. Dalam percintaan stress positif lazimnya akan merangsang perasaan kasih sayang yang lebih mendalam dan membina ikatan perhubungan yang lebih kukuh. Ini kerana eustress boleh dianggap sebagai cabaran dan dugaan yang menguji kekuatan kasih antara dua insan.

Namun demikian stress negatif atau distress juga sering wujud menyebabkan pasangan mula berkonflik dan secara tidak langsung menghakis tenaga dan perasaan cinta yang ada antara satu sama lain. Distress ini boleh memisahkan pasangan sekiranya langkah-langkah yang sepatutnya tidak diambil untuk memperbaiki hubungan tersebut.


KLASIFIKASI STRESS

Stress boleh dikelaskan kepada 4 jenis yang utama (Charles, 2000)
a) Stress yang dijangkakan (anticipatory stress)
Stress ini adalah yang paling mudah untuk diuruskan kerana telah dijangkakan akan berlaku. Pasangan-pasangan bercinta lazimnya dapat mengagak serba sedikit rintangan dan dugaan yang bakal dialami. Ini menjadi mudah sekiranya kedua belah pihak berterus terang antara satu sama lain dan mengelakkan berbohong tentang diri masing-masing. Dengan itu perjalanan perhubungan akan lebih teratur dan terancang.

b) Stress situasi (situational stress)
Ianya stress yang berlaku dengan tiba-tiba akibat kejadian tertentu yang tidak dijangkakan dan memerlukan seseorang untuk menghadapinya dengan segera. Contoh stress ini dalam percintaan ialah kehadiran pihak ketiga yang menyebabkan cemburu, curiga dan lain-lain. Sekiranya tidak dihadapi dengan baik akan membawa kepada jenis stres yang seterusnya.

c) Stress yang kronik (chronic stress)
Stress ini merupakan stress yang berlarutan untuk masa yang panjang. Ia diakibatkan oleh pengalaman buruk atau yang sukar untuk diterima. Contohnya, sekiranya perasaan cemburu yang timbul akibat kehadiran orang ketiga tadi diikuti dengan konflik antara pasangan, pergaduhan, kesukaran untuk komunikasi dan kerenggangan perhubungan maka ia telah menjadi kronik dan mengambil masa yang lama untuk diperbaiki.


d) Stres berbaki (residual stress)
Stress ini berlaku akibat peristiwa lampau yang sukar untuk dilupakan. Ianya mewakili ketidak upayaan dan ketidak sediaan seseorang untuk melupakan kenangan silam . Contoh stress sebegini ialah pengalaman ditinggalkan kekasih, dimadukan (sekiranya telah berkahwin) atau mungkin pengalaman didera oleh pasangan yang amat dicintai. Ada kalanya, walaupun ianya tidak lagi berlaku, individu masih merasakan keperitan akibat daripada peristiwa tersebut dan tidak dapat melupakannya. Antara masalah yang timbul mungkin Post Traumatic Stress Disorder, Insomnia dan simptom-simptom stress yang agak serius.

Oleh sebab itu, individu yang bercinta sekalipun perlu memahami tentang stress dan cara-cara untuk menanganinya agar kejadian stress ini, walau tidak dapat dielakkan, dapat ditangani dengan baik. Ini akan menghalang masalah-masalah lain dalam perhubungan dan juga mengelak daripada mendapat kesan fisiologi dan psikologi yang serius akibat stress. Stress yang teruk dalam hubungan percintaan akan menyebabkan pelbagai masalah kesihatan dan psikologi secara sedar atau tidak sedar sama seperti stress yang berlainan aspek.


CONTOH KES KAUNSELING STRESS PERCINTAAN

Kes 1 :
Aziah (bukan nama sebenar) datang berjumpa kaunselor kerana rasa tertekan dengan situasi yang dialami. Aziah sedang dalam hubungan percintaan dan telah pun menjalinkan ikatan pertunangan dengan kekasihnya. Dia mengalami stress kerana berkonflik dengan teman serumahnya kerana dia menganggap teman serumahnya cuba untuk merampas tunangnya. Menurut Aziah, teman serumahnya pernah menelefon bakal ibu mertuanya dan menceritakan tentang keburukan dirinya dengan tujuan untuk memisahkan Aziah dengan tunangnya. Aziah sangat mencintai tunangnya dan tidak dapat menerima hakikat bahawa teman serumahnya berniat buruk terhadap mereka. Namun Aziah tidak pernah mendapat kepastian atau bukti bahawa teman serumahnya benar-benar telah melakukan perkara sedemikian. Semua ini berdasarkan tekaan sahaja. Namun Aziah sangat tertekan dan mengatakan bahawa dia akan membunuh diri sekiranya teman serumahnya benar-benar telah berbuat demikian.


Kes 2 :

Puan Laila(bukan nama sebenar), berusia 43 tahun telah mendirikan rumah tangga selama 20 tahun dengan lelaki yang amat dicintainya. Mereka dikurniakan 3 orang anak dan semuanya telah dewasa sekarang. Masalah Puan Laila ialah suaminya adalah seorang kaki botol, penjudi, sering mengugut meminta duit darinya serta menderanya sekiranya tidak mendapat apa yang diinginkan. Perkara ini telah berlaku semenjak awal perkahwinan mereka dan masih lagi berlaku. Menurut Puan Laila, pada awalnya dia tidak mengambil kisah kerana perasaan cinta yang amat mendalam dan dia menyimpan harapan agar dia dapat mengubah perangai buruk suaminya. Setelah kehadiran anak-anak, walaupun menghadapi tekanan yang sangat mendalam, dia masih mempertahankan rumahtangganya demi untuk anak-anak. Selama dua puluh tahun mengalami stress tersebut Puan Laila seolah-olah telah lali dengan tekanan itu dan tidak memikirkannya sehinggalah anak-anaknya mendapat kesan daripada masalah ini. Puan Laila datang berjumpa kaunselor dan dia seolah-olah baru bangun dari mimpi yang panjang dan menyedari bahawa dia perlu melakukan sesuatu demi masa depannya

Dua kes ini memberikan contoh yang jelas bagaimana perasaan cinta boleh mengakibatkan seseorang itu hilang pertimbangan diri dan mungkin memudaratkan diri sendiri dan orang lain sekiranya stres tersebut tidak ditangani dengan segera dan efektif. Oleh itu, untuk menangani stress dengan efektif seseorang individu perlu tahu dan memahami punca-punca atau stressor yang terlibat agar langkah-langkah pengurusan stress akan dapat dijalankan dengan lebih berkesan dan masalah diselesaikan dengan segera untuk menjamin keharmonian perhubungan cinta antara dua insan ataupun kebajikan individu yang terlibat.


PUNCA-PUNCA STRESS ATAU STRESSOR DALAM PERHUBUNGAN CINTA

Untuk mempastikan individu yang bercinta dapat menangani stress dengan baik, mereka seharusnya tahu tentang punca-punca atau stressor yang terlibat. Tanpa mengetahui punca-punca atau stressor kaedah menangani stress tidak dapat dijalankan dengan sempurna. Terdapat pelbagai punca yang boleh menyebabkan stress sama ada ianya telah dijangkakan atau tidak dijangkakan oleh pasangan yang terlibat. Lebih elok sekiranya kedua-dua pasangan tersebut peka terhadap punca-punca ini agar dapat saling membantu menangani stress yang berlaku. Ini akan membantu membentuk keharmonian dan mengeratkan lagi kasih sayang antara pasangan. Berikut adalah antara punca-punca stress atau stressor yang biasa berlaku dalam percintaan.

1. Perubahan yang berlaku dengan mendadak.
Apabila seseorang itu jatuh cinta pelbagai perubahan akan berlaku kepada dirinya. Perubahan yang paling ketara ialah dari segi emosi. Hemstetter (1991) menyatakan bahawa manusia tidak secara logik atau sengaja jatuh cinta sebagai sebahagian daripada perancangan strategik yang dirancang dari awal. Apabila seseorang jatuh cinta, emosinya akan mengambil alih dan memandunya dan biasanya minda emosi dan bukan minda logikal yang mengawal dirinya. Semakin erat hubungan itu, semakin kuat emosinya. Oleh itu, sekiranya perasaan menjadi tidak terkawal, individu akan mudah menjadi stress kerana individu tersebut menjadi lebih emosional.

2. Perbezaan
Ketidakupayaan untuk menerima perbezaan sama ada dari segi personaliti, tingkahlaku, cara kehidupan, nilai dan lain-lain juga boleh menyebabkan tahap stress yang signifikan. Lazimnya seseorang yang lebih cepat menyesuaikan diri dan menerima hakikat perbezaan akan dapat menangani stress dengan lebih cepat berbanding dengan seseorang yang kurang fleksibel dan sukar menerima perbezaan. Tahap penyesuaian biasanya bergantung kepada betapa besar jurang yang timbul akibat perbezaan. Lebih besar perbezaannya, maka lebih sukarlah untuk menyesuaikan diri.

3. Kepercayaan tidak rasional atau tidak realistik
Kepercayaan yang tidak rasional dan realistik dalam perhubungan juga boleh menyebabkan stress. Berikut adalah contoh pemikiran tidak rasional dan tidak realistik:

· ‘pasangan saya mesti membahagiakan saya sentiasa’
· ‘suami saya mesti memberi apa yang saya inginkan sekiranya dia benar-benar mencintai saya’.
· ‘Saya tidak boleh gagal dalam hubungan kali ini’

Kehadiran pemikiran-pemikiran sebegini sebenarnya hanya akan membebankan pasangan. Individu yang berfikiran demikian pula akan menjadi sangat tertekan sekiranya kehendaknya atau apa yang difikirkan itu berbeza atau tidak kongruen dengan apa yang dialami. Terlalu banyak pemikiran tidak rasional dan tidak realistik dalam perhubungan hanya akan menimbulkan konflik sekiranya pasangan tersebut tidak sehaluan dan tidak memiliki cara pemikiran yang sama.

4. Tahap komitmen yang berbeza
Menurut Corey & Corey (1997), cinta atau kasih sayang bermakna anda memberi komitmen kepada pasangan. Namun demikian komitmen ini tidak bermakna anda menyerahkan seluruh kehidupan anda kepadanya dan bukan juga bermaksud hubungan ini akan tentu kekal selamanya. Komitmen menunjukkan kesediaan untuk bersama dalam kesakitan, ketidakpastian, kesusahan dan keperitan serta di waktu tenang dan gembira. Stress boleh disebabkan tahap komitmen yang berbeza antara pasangan ataupun tidak wujud langsung komitment pada salah seorang atau kedua-dua belah pihak. Lazimnya pihak yang lebih komited akan merasa stress kerana merasakan hanya dirinya sahaja yang mengambil berat tentang hubungan tersebut.

5. Kehadiran konflik dalam perhubungan
Tiada perhubungan yang tidak pernah mengalami konflik. Konflik adalah perkara biasa dalam kehidupan, malah boleh dianggap sebagai asam garam kehidupan. Namun demikian konflik yang dibiarkan berlarutan boleh menyebabkan stress yang kronik dan menghakis sesuatu perhubungan secara sedar atau tidak sedar. Konflik boleh berbentuk perkara yang remeh temeh seperti perbezaan pendapat hinggalah yang lebih serius seperti pergaduhan besar. Konflik boleh berpunca dari perbezaan keperluan, keinginan, kesukaan, minat, pendapat, kepercayaan atau nilai.


6. Halangan komunikasi
Desakan kehidupan adakalanya menghalang pasangan untuk berkomunikasi dengan berkesan. Kesibukkan, kepenatan dan sikap tidak endah dan tidak menyedari keperluan komunikasi berkesan boleh menyebabkan hubungan menjadi hambar lalu runtuh. Stressor sebegini boleh mengakibatkan tekanan perasaan kerana luahan hati tidak didengari dan boleh menyebabkan kes-kes perceraian sekiranya pasangan telah berkahwin. Komunikasi yang kurang berkesan juga boleh menimbulkan salah faham dan curiga diantara pasangan.

7. Kurang kepercayaan dalam perhubungan
Kepercayaan adalah teras sesuatu perhubungan terutama dalam perkahwinan. Hubungan yang kukuh dan bahagia hanya akan dinikmati sekiranya pasangan saling mempercayai dan menghormati ‘privacy’ pasangan masing masing.Tiadanya kepercayaan dalam sesuatu perhubungan akan menyebabkan seseorang itu cuba mengawal dan memerhatikan setiap gerak geri pasangannya. Ini menimbulkan stress kerana tugas yang bertambah dan kehadiran perasaan syak wasangka yang adakalanya sukar dikawal. Di samping itu pasangan akan rasa tidak selesa dan terkongkong dalam aktiviti hariannya.Akibatnya, kedua-duanya akan mengalami stress.

8. Pengurusan Masa
Percaya atau tidak masalah pengurusan masa juga merupakan punca stress yang agak signifikan dalam perhubungan. Apabila menjalinkan hubungan dengan seseorang hidup individu bukan lagi berkisar pada diri sendiri tetapi ada pihak kedua yang mengharapkan perhatian dan masa. Biasanya masalah ini lebih ketara di peringkat awal perhubungan di mana pengurusan masa perlu dirombak sama sekali untuk memberi ruang kepada pasangan baru. Namun perkara seperti ini turut berlaku di peringkat telah berkahwin terutama sekiranya masa perlu dibahagikan antara rumahtangga, anak-anak dan kerjaya. Pengurusan masa yang tidak cekap dan tidak fleksibel meningkatkan kemungkinan stress.

9. Kehadiran ancaman terhadap perhubungan
Apabila berada dalam perhubungan yang intim, kehadiran sebarang ancaman terhadap kesejahteraan hubungan boleh mengakibatkan stressor. Ancaman ini mungkin berbentuk kehadiran orang ketiga, pergaduhan yang berpanjangan,krisis atau perubahan besar dalam kehidupan, jarak yang memisahkan dan lain-lain. Akibat daripada kehadiran ancaman ini individu akan mengalami pelbagai perasaan seperti salah sangka, cemburu, ingin tahu, curiga, risau dan lain-lain. Perasaan yang dirasakan seperti bimbang dan curiga ini hanya akan menghakis tenaga seseorang sekiranya tidak diredakan dengan segera. Menurut Orman (2002) salah satu sebab individu merasa bimbang ialah kurangnya rasa percaya sama ada terhadap kemampuan diri sendiri atau orang lain.Sekiranya pasangan mempercayai satu sama lain, walau apapun berlaku, mereka akan tetap teguh bersama .


10. Campurtangan orang luar
Campur tangan orang luar dalam perhubungan boleh bersifat posif atau negatif. Campurtangan positif amat digalakkan untuk membantu pasangan mengetahui tentang realiti kehidupan dan tidak hanyut tanpa panduan. Pasangan yang baru bercinta mungkin mengalami lebih banyak campurtangan luar seperti dari kaum keluarga, kawan-kawan dan lain-lain yang pada niatnya adalah untuk membantu. Namun campurtangan yang tidak sihat boleh mengakibatkan konflik dan stress kepada pasangan dan mendatangkan kesan tidak baik kepada perhubungan. Pasangan yang mudah terpengaruh dengan hasutan pihak luar mungkin mengalami masalah mempertahankan perhubungan.


PERKARA-PERKARA YANG PERLU DIELAKKAN SEMASA BERCINTA AGAR TIDAK BERLAKU STRESS

Stress boleh dielakkan sama sekali sekiranya individu mengetahui apa yang menyebabkannya. Adalah lebih baik mengelakkan stress daripada cuba mengatasi stress setelah ianya berlaku. Berikut merupakan beberapa garis panduan untuk mengelakkan stress dalam hubungan percintaan dengan lebih berkesan.

1. Jangan mengharapkan pasangan anda untuk memenuhi segala impian dan kehendak anda.
Pasangan anda tidak bertanggungjawab untuk menjamin kebahagiaan anda. Oleh itu ada kemungkinan harapan, impian dan kehendak anda tidak dapat dipenuhinya kerana dia juga mempunyai harapan, impian dan kehendak diri sendiri yang perlu dipenuhi. Pasangan yang bahagia bersedia untuk berkongsi apa yang ada dan tidak memaksa satu sama lain untuk menjadi alat mencapai impian.

2. Jangan letakkan kebahagiaan anda di tangan pasangan anda semata-mata.
Kebahagian tidak terletak ditangan sesiapa melainkan diri sendiri. Menurut Abraham Lincoln, kebahagian terletak kepada cara seseorang itu berfikir. Sekiranya individu berfikiran positif dan gembira, begitu jugalah kehidupannya. Kesilapan meletakkan keseluruh kebahagian kepada pasangan menambah kelemahan individu kerana sekiranya sesuatu berlaku kepada pasangan atau perhubungan dia akan hilang seluruh kebahagiaan hidupnya.

3. Elakkan cuba mengubah kekasih anda.
Setiap individu adalah hasil dari pembentukan personaliti yang memakan masa bertahun-tahun. Adalah mustahil bagi kita untuk mengubah pasangan mengikut citarasa sendiri. Tingkatkan empati dan cuba memahami pasangan dari perspektif dirinya pula. Apakah perasaan anda sekiranya pasangan anda cuba untuk menukar diri anda yang sebenar? Sebagai alternatif, anda boleh mencuba untuk berdiplomasi dengan pasangan dan meminta dia lebih peka tentang aspek-aspek yang anda senangi atau kurang senangi tentang dirinya tanpa menimbulkan konflik. Pengukuhan positif juga boleh dilakukan bagi membantu pasangan menonjolkan sikap yang lebih anda senangi.
4. Jangan terlalu serius dalam perhubungan.
Kita mesti memandang serius sesuatu perhubungan tetapi jangan terlalu serius dalam perlaksanaanya. Cinta adalah untuk dinikmati bukan untuk menyiksa seseorang individu. Sikap yang terlalu serius, tidak fleksibel dan terlalu terkawal boleh menimbulkan ketegangan dan stress kepada pasangan. Relaks dan cuba menikmati setiap detik yang berlalu dengan lebih bermakna.

5. Jangan memendam perasaan sekiranya berlaku konflik atau pertengkaran.
Ada pasangan yang mengelak daripada membincangkan isu-isu yang menimbulkan konflik malah ada yang tidak mengakui kewujudan konflik dalam hubungan mereka. Kegagalan ini hanya akan merumitkan keadaan kerana akan ada pihak yang tidak puas hati. Dalam ertikata lain ianya hanya akan menjadi ‘kudis yang bernanah’ sekiranya tidak diubati.


6. Sekiranya berlaku konflik, jangan ‘serang’ pasangan anda secara peribadi.
Sekiranya ada sesuatu konflik, cuba bincangkan secara rasional dan elakkan menyalahkan satu sama lain. Antara kesilapan yang biasa dilakukan ialah, pasangan mula mengungkit keburukan satu sama lain dan terlupa tentang nilai perhubungan yang sebenar. Masing-masing akan cuba mempertahankan diri sendiri walaupun adakalanya, punca pergaduhan adalah pihak ketiga. Adakah berbaloi memenangi perbalahan tersebut sekiranya ia hanya akan meningkatkan tahap stress anda?

7. Elakkan terlalu mengawal pasangan anda.
Sikap yang terlalu mengawal akan menimbulkan kebosanan kepada pasangan kerana merasakan diri tidak dipercayai. Kepercayaan antara satu sama lain harus menjadi asas dalam perhubungan percintaan. Sekiranya tidak, konflik mungkin akan timbul dan pasangan akan cuba mencari jalan keluar untuk bebas dari rasa terkongkong.


PENGURUSAN STRES BERKESAN

Langkah utama dalam pengurusan stress yang berkesan ialah menyedari bahawa anda sedang mengalaminya. Ramai juga bertindak tidak memperdulikan stress yang berlaku dan berlagak seolah-olah segalanya sempurna dan tidak mengalami masalah. Mengenalpasti stressor dengan tepat akan memudahkan lagi langkah-langkah menangani stress dan berikut disenaraikan beberapa cadangan yang praktikal tentang cara-cara pengurusan stress yang berkesan.

1. Kenali pasangan anda.
Sebelum sebarang keputusan diambil untuk meneruskan perhubungan seeloknya anda perlu mengenali dan menilai pasangan anda. Disinilah letaknya kepentingan berterus terang antara pasangan. Sekiranya pasangan bersikap jujur maka anda akan lebih mudah menjangkakan perjalanan perhubungan anda. Ini menentukan sama ada tahap stress dapat dijangkakan dengan baik.
Menurut Tresl (2000) kita perlu menilai pasangan dengan mata terbuka dan cuba melihat kepada tiga aspek utama untuk menentukan sama ada perhubungan layak dipertahankan atau tidak. Tresl (2000) menekan aspek tiga C iaitu chemistry atau daaya tarikan yang wujud, compatibility atau keserasian dari pelbagai aspek dan common values atau perkongsian nilai-nilai yang sama. Sekiranya tiga aspek ini tidak wujud atau kurang, maka adalah lebih baik hubungan tidak diteruskan untuk mengelakkan stress.

2. Belajar untuk menerima pasangan anda.
Sekiranya terdapat perbezaan antara anda dan pasangan anggaplah ia sebagai satu keistimewaan. Hargai perbezaan yang wujud dan gunakan sumber yang ada untuk mempelajari dengan lebih mendalam tentang pasangan anda. Sternberg (1988) menegaskan kepentingan untuk mencintai pasangan anda yang ‘sebenar’ dan bukannya pasangan yang anda inginkan menjadi seorang yang ideal. Ini kerana kehidupan adalah satu realiti dan tidak mungkin kita mendapat pasangan yang ideal, tanpa sebarang cacat cela. Corey & Corey (1997) menyatakan bahawa cinta bermaksud seseorang itu menghormati harga diri pasangannya. Sekiranya seseorang mencintai pasangannya, dia mesti mampu melihat pasangan sebagai individu yang berasingan, yang mempunyai nilai, fikiran dan perasaan tersendiri.

3. Lihat perhubungan secara realistik
Agar sukar untuk menukar cara kita berfikir, namun demikian pasangan yang ingin mengelakkan stress dari berlarutan harus melihat perhubungan dari segi yang lebih realistik. Contohnya, tidak semua perhubungan akan berjalan lancar, tanpa dugaan dan tidak semua pasangan mempunyai objektif yang sama sepanjang kehidupan bersama. Dalam perhubungan yang sebenar, pasangan tetap akan mengalami ketidaksempurnaan, pergaduhan dan perasaan tidak puas hati. Tetapi yang lebih penting ialah cara pasangan itu mengatasi masalah dengan baik. Berfikir dengan lebih rasional dan bukannya emosional akan dapat mengelakkan pasangan merasa terlalu stress dan ini membantu hubungan untuk menjadi lebih harmoni.

4. Penyelesaian konflik secara sihat.
Tugas ini menjadi lebih mudah sekiranya pasangan saling mempercayai satu sama lain. Menurut Nadig (2000), dalam artikelnya ‘Relationship conflict: Healthy or UnHealthy’, kedua-dua pasangan mesti melihat konflik sebagai sesuatu yang perlu diselesaikan bersama, bukannya oleh salah seorang sahaja. Pasangan mesti menglibatkan diri secara aktif dan berusaha serta memiliki komitmen untuk sama-sama mencari jalan penyelesaian yang adil dan boleh diterima oleh kedua-dua belah pihak. Antara tahap-tahap penyelesaian konflik yang berkesan ialah mengenalpasti masalah, memikirkan beberapa penyelesaian yang mungkin dan setiap jalan penyelesaian haruslah dinilai oleh pasangan. Selepas itu pasangan haruslah memilih jalan penyelesaian terbaik, melaksanakan perancangan tersebut, dan akhirnya adakan susulan sekiranya jalan penyelesaian yang dipilih kurang sesuai.

5. Mengamalkan komunikasi berkesan
‘ Talking is sharing but listening is caring’ – anonymous

Komunikasi memainkan peranan yang amat penting dalam perhubungan. Pasangan anda tidak semestinya dapat meneka apa yang anda rasakan. Tanpa komunikasi, perhubungan hilang kemesraan dan menjadi kepompong tanpa makna. Cara komunikasi berkesan dapat diterangkan dengan ringkas melalui konsep LOVE. L atau listening iaitu mendengar merupakan aspek utama dalam memastikan komunikasi berkesan. Pasangan yang kurang mendengar luahan hati pasangannya akan menghadapi kegagalan komunikasi. Ini diikuti dengan O atau observation iaitu melihat bahasa bukan lisan yang ditunjukkan oleh pasangan. V atau verbal response iaitu respon lisan tentunya memainkan peranan penting agar kemesraan tetap subur. Dan untuk memastikan keintiman dan sikap saling memahami E atau Empati juga diperlukan supaya setiap individu merasakan apa yang dirasa oleh pasangannya. Dengan mengamalkan komunikasi berkesan hubungan dapat dieratkan dan dikekalkan dengan lebih efektif.

6. Tanamkan kepercayaan terhadap pasangan
Menurut Orman (1994), memandangkan janji janji yang diberikan adalah landasan kepada penyatuan dua insan yang berkahwin, setiap individu perlu memberi kepercayaan kepada pasangannya untuk memenuhi janji itu dengan penuh kesetiaan. Namun demikian, setiap pasangan mesti menghormati kepercayaan yang diberikan dan ianya bukan lesen untuk mengkhianati pasangan masing-masing. Salah satu cara untuk memupuk kepercayaan ialah dengan selalu berkomunikasi tentang aktiviti masing masing dengan jujur dan mengelakkan berbohong kepada pasangan anda.

7. Pengurusan masa yang efektif.
Teknik pegurusan masa yang boleh digunakan adalah sama seperti dalam situasi lain tetapi mungkin memerlukan sedikit kelenturan bagi memberi ruang bagi aktiviti bersama yang tidak dirancang. Antara langkah-langkah pengurusan masa efektif ialah mengamalkan kelenturan, mengetahui batasan dan kemampuan diri, tentukan keutamaan sesuatu tugas, amalkan pembahagian tanggungjawab, mengamalkan sikap asertif, simpan jadual masa peribadi dan rehat secara teratur. Sekiranya masa anda dapat diuruskan secara efektif tanpa membelakangkan kepentingan pasangan anda, kemungkinan besar stress akan dapat dikurangkan.

8. Bersikap asertif dan jangan mudah terpengaruh
Salah satu sumber stress yang utama ialah tidak mampu untuk memberitahu orang lain apa yang difikir dan dirasakan dan ini berkait dengan sikap asertif. Stres yang berlaku akibat campurtangan orang lain dalam kehidupan memerlukan anda menjadi lebih assertif dalam membuat keputusan dan menyatakan apa yang anda rasakan betul. Menurut Youngs (1986), sikap asertif ialah ‘memiliki’ apa yang diingini, termasuk perasaan anda dan tidak meletakkan tanggungjawab tersebut ke atas orang lain. Sikap asertif juga ialah menyatakan sesuatu dengan cara yang diterima orang lain tanpa rasa mereka dipersalahkan dan memberi peluang kepada mereka untuk memberi maklumbalas. Ini bermaksud dengan bersikap asertif anda akan mendapat apa yang anda inginkan dan pada masa yang sama tidak melukakan hati mana-mana pihak. Keputusan yang dibuat tidak dipengaruhi oleh unsur-unsur luaran.

9. Amalkan teknik relaksasi secara bersama
Terdapat banyak teknik-teknik relaksasi yang boleh diamalkan untuk mengurangkan stress. Sekiranya anda berpeluang untuk melakukannya bersama pasangan ia mungkin menjadi lebih menarik. Pasangan bercinta terutamanya yang telah berkahwin boleh mengamalkan teknik relaksasi secara bersama seperti senaman, urutan dan lain-lain untuk menenangkan fikiran di samping meningkatkan kemesraan satu sama lain. Relaksasi juga boleh dilakukan dengan melancung ke tempat-tempat menarik, menghadiri persembahan teater atau musik yang digemari oleh kedua-dua belah pihak dan banyak lagi. Aktiviti-aktiviti sebegini memastikan bahawa kedua-dua belah pihak berada dalam tahap kesihatan fizikal dan mental yang baik di samping membuka peluang komunikasi dengan lebih luas.

10. Lihat perkara dari perspektif yang berbeza. Amalkan humor.
Adakalanya masalah yang serius sebenarnya tidaklah seteruk yang dijangkakan sekiranya dilihat dari perspektif yang berbeza. Melihat kehidupan secara humor boleh membantu menangani stressor kerana tubuh kita akan berada dalam mod berjaga-jaga. Ini akan menyeimbangkan fikiran dan membolehkan kita berfikir dengan lebih rasional. Emosi yang gembira secara langsung memberi kesan positif terhadap sistem imun badan yang merendahkan mengeluaran hormon stress. Ia juga meningkatkan penghasilan hormon endorfin yang merupakan ‘penawar stress’ yang berkesan. Selain itu ketawa menghasilkan kesan relaks dan melancarkan perjalanan darah. Suasana yang riang dalam perhubungan memang dengan jelas dapat meningkatkan kemesraan dan menjamin kesihatan fizikal yang lebih baik

11. Luangkan masa yang berkualiti bersama.
Menurut Crane (dalam Ziglar,1997), cinta disuburkan dengan layanan dan ekspresi cinta. Cinta akan ‘berkarat’ sekiranya tidak digilap dengan minat, penglibatan dan ekspresi cinta yang berterusan. Oleh itu pasangan yang bercinta terutamanya yang berada di alam perkahwinan perlu meluangkan seberapa banyak masa yang berkualiti bersama agar perasaan cinta tidak menjadi malap. Menurut Crane lagi sekiranya kita sering membajai cinta secara bersungguh dan berterusan, aspek aspek positif dalam perkahwinan akan bertambah dan aspek negatif akan menjadi lemah. Ini secara tidak langsung akan menghindari kejadian stress akibat kurangnya komunikasi atau kepercayaan terhadap pasangan kerana kebanyakkan aktiviti dilakukan bersama.

Pengurusan stress yang sistematik akan dapat membantu individu dan pasangan membentuk perhubungan yang lebih selesa, mesra dan diharapkan berkekalan. Oleh itu, teknik-teknik yang betul perlu diketahui agar pelaksanaanya lebih berkesan.

RUMUSAN

Kebanyakan pasangan yang bercinta lazimnya akan mengharapkan hubungan yang berkekalan. Namun alam percintaan, walau seindah mana pun tetap akan diwarnai dengan pelbagai cabaran dan dugaan dan stress adalah sebahagian daripadanya. Stress akan berlaku kepada setiap orang yang bercinta disebabkan keunikan individu, perbezaan pendapat, cara hidup dan perpektif yang berlainan tentang hidup.

Stress yang berlarutan dan tidak ditangani dengan baik akan menimbulkan simptom-simpton stress yang lazim. Sekiranya dibiarkan melarat akan memudaratkan kesihatan fizikal dan mental. Ada individu yang terpaksa mendapatkan khidmat kaunseling atau yang lebih serius perlu mendapatkan perkhidmatan psikiatri untuk membantu mereka menangani stress.

Oleh itu kefahaman tentang stressor dan cara-cara menanganinya haruslah diketahui oleh setiap individu sama ada mereka sedang berada di alam percintaan atau tidak. Malah stress dalam hubungan percintaan juga dapat dielakkan sekiranya pasangan tahu perkara-perkara perlu diambil berat dalam sesuatu perhubungan. Oleh kerana stress adalah perkara biasa dalam kehidupan, maka setiap individu perlu lebih peka tentang semua aspek berkaitan stress agar hidup berpasangan lebih bermakna dan berkekalan. Hubungan percintaan harus dibajai dengan sikap-sikap positif dan langkah-langkah menangani stress yang berkesan agar cinta tetap subur selama-lamanya.


Rujukan

Charles, C.L.(2000) Why is everyone so cranky? New York : satu Martin’s Press
Corey,pergi. & Corey, M.S. (1997) I never knew I had a choice (6th Edition).Brooks/ Cole Publishing Company.
Helmstetter, S. (1991) You can excel in times of change. Pocket Books : Simon and Schuster, Inc.
http://html.ksat.com/sh/health/stressbusters/2000204-023448.html. Tresl, J (2000) Couples stop stressing each other out.
http://www.drnadiq.com/conflict.htm. Nadiq, L.A. (2000) Relationship confict: Healthy or unhealthy
http://www.drnadiq.com/stress.htm
http://www.lifepositive.com/mind/psychology/stress/
http://www.stresscure.com/relation/succeed.html. Orman, M.C.(2002) How to make your relationship succeed ….or fail!
http://www.stresscure.com/relation/worry.html
Selye, H. (1976) The stress of life. New York: McGraw Hill
Youngs, B. (1986) Helping your teenager deal with stress: A survival guide for parents and children. Tarcher: satu Martin’s Press
Ziglar, Z. (1993) See you at the top. Heinemann Asia: Singapore
____________________________________
DALAM PERCINTAAN ATAU STRESS?
MEMAHAMI STRESS DALAM HUBUNGAN PERCINTAAN
Oleh :
Ida Hartina binti Ahmed Tharbe
Pensyarah / Kaunselor Berdaftar 00128
Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan,
Universiti Malaya, 50603 Kuala Lumpur.
Tel : 03-79675063 Fax: 03-79675010

No comments:

Post a Comment