fb

Nov 13, 2010

Perkahwinan dari pandangan islam

Takrif perkahwinan 


Perkahwinan dari segi bahasa bermaksud 'berkumpul, bercampur atau bercantum'. Pada istilah syara' pula bermaksud, 'Akad yang menghalalkan persetubuhan atau hubungan jenis di antara lelaki dan perempuan pada lafaz yang diucapkan yang membawa maksud nikah dengan mengikut peraturan serta syarat yang telah ditetapkan oleh syara'.


Hikmah pensyariatan perkahwinan 

1. Perkahwinan amat digalakkan oleh Islam dan juga bagi menuruti Sunnah Rasulullah.

2. Perkahwinan telah diharuskan oleh syara' demi untuk memelihara individu muslim daripada terlibat dan tercebur pada perkara-perkara yang ditegah ataupun melepaskan nafsu mereka pada tempat-tempat yang haram.

3. Perkahwinan juga bertujuan untuk menjaga keturunan umat manusia daripada terus pupus dimana melalui perkahwinan maka akan lahirlah generasi baru dan keturunan juga dapat dikekalkan untuk selama-lamanya.

4. Ikatan perkahwinan dapat membentuk dan menjalinkan hubungan yang lebih intim bagi individu tertentu, merapatkan hubungan kekeluargaan anatara kedua belah pihak serta hubungan di antara anggota masyarakat akan menjadi lebih kukuh dan sempurna.

5. Melalui perkahwinan pasangan suami isteri dapat menyemai perasaan kasih sayang dan belas kasihan, tolong menolong dan bekerjasama, berkongsi segala masalah suka duka dalam mengharungi cabaran hidup serta lebih bertanggungjawab.

6. Perhubungan kelamin antara suami isteri adalah suatu amalan soleh dan diberikan ganjaran pahala oleh Allah.


Permasalahan dan penjelasan berhubung Wali Nikah 

Wali adalah orang yang memiliki kuasa penuh untuk menjalankan sesuatu akad nikah atau mengahwinkan seseorang perempuan. Wali juga berhak untuk melangsungkan sendiri sesuatu akad nikah itu ataupun mewakilkannya kepada juru nikah. Wali nikah terbahagi kepada 2 jenis iaitu,
1) Wali Nasab,
2) Wali Hakim.

Penjelasan Wali Nasab
Wali nasab adalah wali yang ada ikatan dan hubungan kekeluargaan dengan pengantin perempuan yang bakal dikahwinkan, mereka itu adalah seperti,
1) Bapa pengantin perempuan (Wali Akrab)
2) Datuk sebelah bapa
3) Saudara lelaki seibu sebapa
4) Saudara lelaki sebapa
5) Anak lelaki kepada saudara lelaki seibu sebapa
6) Anak lelaki kepada saudara lelaki sebapa
7) Bapa saudara dari pihak bapa seibu sebapa
8) Bapa saudara dari pihak bapa sebapa
9) Anak lelaki kepada bapa saudara dari pihak bapa seibu sebapa
10) Anak lelaki kepada bapa saudara dari pihak bapa sebapa
11) Bapa saudara kepada bapa yang seibu sebapa
12) Bapa saudara kepada bapa sebapa

Penjelasan Wali Hakim
Wali hakim adalah wali yang dilantik dan diberi tauliah oleh ketua atau kuasa pemeritah Islam kepada seseorang untuk mengakad nikahkan perempuan yang hendak berkahwin melalui cara berwalikan hakim. Bagi wilayah atau negeri yang pemimpin negaranya bukan beragama Islam ataupun negara yang didiami itu bukanlah sebuah negara Islam, wali hakim bolehlah dilantik oleh masyarakat Islam setempat dengan memilih mereka yang lebih alim serta mahir dalam selok belok agama.

No comments:

Post a Comment