fb

Dec 2, 2010

Jenis percintaan pelajar pelajar di ipt

PENDAHULUAN

Bercinta sememangnya sesuatu yang indah bagi yang mengalaminya. Namun, bagi yang tidak mengalaminya pula mempunyai pendapat yang tersendiri. Tidak dinafikan setiap insan di muka bumi ini dilahirkan untuk mencintai dan dicintai sesama manusia namun itu bukanlah alasan untuk melakukan perkara tersebut di luar batas sehingga mengenepikan agama dan adat budaya. Saban hari, kita disajikan dengan pelbagai isu percintaan di kalangan pelajar universiti sehinggakan masyarakat memandang serong terhadap pelajar universiti. Berdua-duaan, bercumbuan dan berpelukan di khalayak ramai sudah menjadi perkara biasa bagi pelajar universiti namun bagi mata-mata yang memandangnya amat menjijikkan. Dimanakah maruah seorang insan yang bergelar mahasiswa/mahasiswi sehingga sanggup berkelakuan jelek di khalayak ramai.

Ramai yang berpendapat, ketika menuntut di universitilah saat yang paling sesuai untuk memilih pasangan hidup. Sejauh manakah kebenaran tersebut? Dimana letaknya standard universiti yang dikatakan gedung menimba ilmu atau ianya sekadar nama sahaja sebaliknya lebih sesuai dikatakan sebagai pusat mencari jodoh? Sungguh menyedihkan apabila universiti yang sepatutnya melahirkan insan yang berjaya tidak memenuhi kehendak negara dan masyarakat.

GAYA-GAYA PERCINTAAN PELAJAR IPT

• Pelajar bercinta dengan pelajar
• Pelajar bercinta dengan internet
• Pelajar bercinta dengan pensyarah
• Pelajar bercinta dengan suami orang
• Pelajar bercinta dengan datuk-datuk/orang-orang kaya
• Pelajar terlibat dengan cinta tiga segi


Pola gaya percintaan pelajar IPTA adalah pertama pelajar yang bercinta dengan pelajar. Pelajar dalam golongan ini adalah amat kurang dari setahun ke setahun. Walaupun berkurang, tetapi masih banyak melibatkan pelajar dalam pola percintaan ini. Hal ini kerana, kebanyakkan pelajar merasakan lelaki yang sebaya dengannya adalah tergolong dari lelaki yang tidak serius dalam percintaan dan kurang berfikir ke arah hidup berumah tangga. Malah, lelaki yang seusia dianggap tidak matang dan tidak menjamin kehidupan. Oleh sebab itu, pola percintaan pelajar dengan pelajar semakin berkurangan.

Selain itu, pola gaya percintaan pelajar IPTA yang kedua adalah pelajar bercinta melalui atau dengan internet. Pola jenis ini semakin meningkat sejak akhir- akhir ini dalam kalangan pelajar IPTA. Walaupun, peningkatannya adalah sedikit tetapi pada tahun 2008, pola jenis ini meningkat secara mendadak. Hal ini kerana kebanyakkan pelajar di IPTA menggunakan sumber rujukan dari internet. Oleh itu, kemungkinan terdedah kepada penggunaan internet seperti friendster, chatting, myspace dan banyak lagi adalah tinggi. Golongan pelajar yang terdedah kepada pola percintaan ini adalah kerana pelajar mudah terpedaya dengan ayat-ayat yang digunakan oleh individu yang tidak dikenali.

Ketiga adalah pola percintaan pelajar dengan pensyarah. Pola percintaan jenis ini semakin meningkat, tetapi pada kadar yang rendah. Hal ini kerana pelajar tidak banyak terdedah kepada pensyarah. Namun, apa yang kita dapat perhatikan, pada masa sekarang kebanyakkan pensyarah yang baru adalah sangat muda dan sebaya atau hampir sebaya dengan pelajar. Hal ini merupakan salah satu faktor menyebabkan percintaan pelajar dengan pensyarah.

Keempat adalah pola percintaan pelajar dengan suami orang. Pola jenis percintaan pelajar dengan suami orang semakin meningkat.Hal ini terjadi kerana kebanyakkan pelajar di IPTA adalah dari golongan gadis-gadis muda. Kesempatan ini, menyebabkan golongan ini mengambil jalan mudah dengan menjalinkan hubungan dengan suami orang untuk kepentingannya. Pelajar yang kebanyakkan terlibat dengan pola jenis ini adalah pelajar yang merasakan suami orang adalah matang dan memahami kehendak mereka dan ini menyebabkan golongan pelajar ini selesa bercinta dengan suami orang.

Kelima adalah pola percintaan pelajar dengan golongan datuk-datuk atau golongan orang-orang kaya. Pola percintaan jenis ini juga semakin meningkat dari setahn ke setahun. Ramai dari golongan pelajar IPTA masa kini, terlalu hidup bebas dan memilih percintaan berdagarkan wang ringgit tanpa memikirkan kesannya kepada diri mereka sendiri. Malah, ada sesetengah golongan yang terpelajar dan dari pelajar IPTA ini adalah sanggup menjadi perempuan simpanan. Hanya semata-mata untuk mendapat kewangan serta kemewahan tanpa memikirkan kesannya.

Pola yang terakhir adalah pola pelajar yang telibat dengan cinta tiga segi. Pelajar yang terlibat dengan pola jenis ini adalah pelajar yang bercinta dan melibatkan orang ketiga. Pola percintaan pelajar dari percintaan tiga segi adalah semakin meningkat. Penglibatan orang yang ketiga dalam satu perhubungan akan menyebabkan perhubungan akan menjadi renggang dan sekali gus akan musnah. Peranan orang ketiga dalam sesuatu percintaan akan mengundang pergaduhan dan akhirnya menyebabkan hubungan terputus. Pola percintaan yang melibatkan orang ketiga masih tinggi dalam kalangan pelajar IPTA.


KESIMPULAN

Kesimpulannya, pola percintaan ini telah pun mendedahkan bagaimana situasi percintaan di kalangan pelajar universiti. Tidak dinafikan, golongan ini terdiri daripada orang-orang yang bijak pandai dan individu yang bakal memimpin negara suatu hari kelak tetapi melihat kepada masalah-masalah yang ditimbulkan oleh golongan ini membuatkan masyarakat sekeliling berasa ragu akan kewibawaan pelajar universiti. Isu-isu seperti mengandung luar nikah, bercumbu-cumbuan di khalayak ramai, berdua-duaan tanpa segan silu dan banyak lagi meletakkan taraf pelajar universiti itu pada kedudukan yang sangat rendah. Seolah-olah, kebijaksanaan dan kepintaran pelajar tersebut tidak ada gunanya jika tidak bijak mengatur hidupnya. Natijahnya, pelajar universiti akan dipandang hina seandainya keadaan seperti ini terus berlaku dan berleluasa.

Namun, tidak kurang juga terdapat segelintir pelajar universiti yang berjaya mengekalkan hubungan percintaan mereka ke jinjang pelamin. Keadaan ini juga bergantung kepada kecekalan hati individu dalam mengekalkan hubungan mereka dan bijak mengatasi masalah yang dihadapi ketika bercinta. Keadaan ini juga memberi kelebihan kepada pasangan-pasangan seperti ini pada masa depan dalam melayari alam rumah tangga kerana pengalaman ketika bercinta banyak mengajar erti kesabaran dan langkah-langkah dalam mengatasi masalah yang dihadapi.

Oleh yang demikian, percintaan di kalangan pelajar universiti ini membuka minda masyarakat betapa golongan ini dalam usaha mengatur hidup mereka di masa hadapan dan sedaya upaya memberikan yang terbaik untuk pasangan masing-masing. Diharapkan pelajar-pelajar universiti ini bijak mengatur langkah dan sentiasa berpijak di bumi yang nyata.

1 comment: