fb

Mar 1, 2011

Kemana bahagia yang hilang...

Hakikatnya, ramai manusia yang hilang rasa bahagia bukan kerana poligami semata-mata. Berapa ramai orang yang tidak terlibat dengan poligami, tetap tidak merasakan bahagia yang hakiki.

Andai kita meluaskan skop pandangan mata di sekitaran hari ini, bukan setakat rumahtangga yang mengamalkan poligami sahaja yang bergolak, bahkan rumahtangga berstatus monogami juga turut banyak berkocak. Saban hari ada saja kisah perceraian yang dipaparkan di dada akhbar.

Terlalu banyak dan sangat menggusarkan!

Fenomena perceraian ini sangat menggerunkan, kerana ia umpama indikator kepada keberhasilan 'jarum' halus yang dicucuk oleh musuh Islam secara perlahan-lahan ke dalam masyarakat Islam iaitu bila mana sistem perkahwinan digambarkan sebagai punca ketidakbahagiaan, maka lama kelamaan generasi muda akan meninggalkan perkahwinan. Mereka lebih gembira berpacaran tanpa apa-apa ikatan.




Inilah yang berlaku kepada institusi perkahwinan di barat yang semakin dipinggirkan. Panggilan 'this is my partner' sudah biasa kepada mereka berbanding, 'this is my wife/husband'.

Jika direnung-renungkan, suasana ini, tidak lain adalah berpunca dari keimanan yang lemah. Ditambah lagi, dengan kurangnya penghayatan kepada konsep ilmu di dalam Islam yang berfungsi sebagai cahaya yang memandu manusia untuk keluar dari lorong kegelapan, kemusnahan dan kerosakan.

Di samping itu, keberhasilan sesebuah keluarga, baik yang berpoligami atau tidak, sangat ditentukan oleh sejauh mana tingkat pemahaman serta ketaatan masing masing (suami dan isteri ) kepada didikan agama. Kurangnya pemahaman dan pengamalan ajaran Islam akan menjadi sumber pemicu kepada keretakan rumah tangga. Tetapi jika disandarkan kepada pemahaman yang benar serta komitmen untuk melaksanakannya, diiringi saling pengertian, saling berkasih sayang dan saling membantu di antara suami isteri, kebahagiaan tersebut pasti dapat dibangun secara bersama-sama.

Justeru, apa yang patut dan perlu diperbincangkan ialah bagaimana langkah sepadu dan efektif dapat dilaksanakan dari pelbagai pihak terutama institusi dan badan-badan swasta juga kerajaan yang banyak terlibat secara langsung dalam menggubal kursus-kurus perkahwinan Islam, untuk menerap kesedaran iman dan penghayatan ilmu kepada pasangan lelaki dan wanita bagi melaksanakan kewajipan, tanggungjawab dan amanah selepas bernikah.

Poligami semata-mata sebenarnya bukanlah sesuatu yang harus dibahaskan dengan panjang lebar. Kemelut yang melanda institusi rumahtangga hari ini bukan berpunca dari sistem perkahwinan itu sendiri (baik poligami atau monogami), tetapi individu yang melaksanakannya.

No comments:

Post a Comment