fb

Jun 7, 2011

Dari Kaca Mata Seorang Perempuan

Hendak diluahkan perasaan di dalam hati bukanlah mudah. Apatah lagi di hadapan seseorang yang amat aku hargai, sayangi dan cintai. Bukan tak kasih, tetapi rasa marah itu kadangkala menerpa juga. Bimbang, kalau dinyatakan apa yang terpendam, ada pula yang berkecil hati. Buatnya merajuk berhari-hari, aku juga yang akan susah hati.

Seorang lelaki bergelar suami, sukarnya untuk difahami walaupun sudah bertahun-tahun dikenali sebagai kekasih. Begitulah hakikatnya yang terjadi padaku. Bukan tidak kenal, malah sudah lebih dari kenal. Maka sebab itulah kami mengikat hubungan mulia ini. Tetapi, bila sudah berumahtangga, lain pula ceritanya. Dari kaca mataku yang bergelar seorang perempuan, lelaki ini (suamiku) sukar untuk diduga kehendaknya.

Seringkali, tindakannya seolah-olah aku ini punya kuasa psikik yang boleh membaca fikirannya lantas menyediakan segala-galanya tanpa diberitahu. Contoh yang cukup jelas, bila diwaktu petang aku sediakan minum petang. Selalunya dia ingin minum air milo, dan memang itulah minuman yang aku sediakan. Tetapi, bila datang anginnya dia mahu bertukar kepada teh pula. Aku yang sudah menyiapkan air milo sudah tentu dimarahnya. "Abang tak nak air milo. Abang nak minum teh." Air sudah terhidang tatkala dia memberitahu. Mahu tak mahu, terpaksalah sediakan segelas minuman lagi. Bila aku tanya dia nak minum apa pada hari-hari lain, jawabnya," Macamlah awak tak tahu abang nak minum apa." Begitu pula jawapannya. Hairan sungguh hatiku ini. Tanya salah, tak tanya pun salah.

Selalunya kami pergi ke pasar raya bersama pada hujung minggu untuk membeli barang keperluan. Sebelum bertolak lagi, suamiku sudah mengarahkan supaya senarai panjang semua barang-barang yang hendak dibeli disiapkan. Bila sampai di Carrefour, terus beli tanpa buang masa. Memang bagus caranya itu. Tetapi, kita orang perempuan mestilah kadangkala nak menilik juga. Bukan main beli semua ikut senarai macam robot. Bukan kerana memilih, tetapi perlu dipertimbangkan dari pelbagai sudut. Ini bukan macam explore race. Kalau ada yang lebih murah dan baik kualitinya, apa salahnya bertukar citarasa. Mungkin boleh membantu mengurangkan kos. Jimat duit suami juga kan? Bila aku sarankan untuk beli barang lain selain dari senarai yang telah ditetapkan, suamiku bising. Katanya nak kejar masa, nak balik cepat. Ada banyak lagi kerja lain yang hendak dibuat. Bukannya aku ini boros benar, yang hendak dibeli itu pun barang-barang yang penting juga pada hematku.

Bila dah sampai ke rumah, 2-3 hari kemudian dia berkehendakkan barang tersebut, mulalah ditanyakan padaku. Bila aku jawab tak beli, dia marah-marah lagi. Katanya, "Nape tak beli hari tu? Kan dah 2-3 kali kerja nak pergi sana balik?" Aku menggeleng-geleng. Bila aku nyatakan dia juga yang tak nak beli, terus dia diam. (Biasalah lelaki, nak jaga saham sendiri! Dah salah pun tak nak mengaku.)


Bila balik ke rumah dari pasar raya, (kata suamiku tadi dia kejar masa, sibuk, ada benda nak buat.) bukannya dia buat apa pun. Aku macam biasalah, memasak kat dapur, tapi dia kat depan ruang tamu menonton cd Penyiasat kanak-kanak, Conan. Kalau waktu malam, mesti nak pergi Putrajaya depan masjid tu. Nak tahu dia buat apa? Main remote car dekat dataran. Kadang-kadang sampai aje, belum sempat makan dulu dia dah sibuk mengeluarkan remote carnya, nak pergi main dekat dataran. Menggeleng kepala aku dibuatnya. Kadang-kadang perangai tak ubah macam budak kecik. Anginnya selalu tak menentu. Kalau marahkan hal di ofis, balik aje bermasam muka denganku, macam aku pula yang bersalah.

Nasiblah dia mudah makan pujukan. Bila dah dipujuk dan gurau-gurau sikit dah elok balik. Tapi, kadang-kadang kalau dah teruk sangat moodnya, aku pun dia tak nak bercakap. Diam aje duduk depan tv tengok berita. Namun, marah atau merajuk seteruk mana sekalipun, setiap malam mesti dia mencariku ketika mahu tidur. Kalau tidak didodoikan dulu (baca selawat sambil usap kepala) susah benar suamiku ini hendak lelapkan mata. Manjalah pulak! Sebelum kahwin dulu, boleh aje tidur terus, tapi lepas kahwin ni, macam-macamlah perangai kebudak-budakannya yang timbul. Lelaki memang macam ni ke?

Perkara yang benar-benar buat aku kecil hati ialah pada 2 minggu yang lepas. Ketka itu, kami pergi ke pasar malam. Seperti biasa, suamiku itu kalau pergi tempat yang ramai orang mulalah dia rimas. Laju aje dia menarik aku ke sana-ke mari kerana nak cepat-cepat settle beli barang. Tercungap-cungap aku dibuatnya. Nasib tak tersembam. Sudahlah aku kepenatan yang amat. Dua tiga hari ini badan tak berapa sihat, selalu pening kepala. Suami pula buat tak tahu aje. "Ambil aje panadol, nanti oklah tu." Itu ajelah jawabnya bila aku suarakan keadaan diriku yang tidak sihat ini. Aku diamkan sahaja walaupun aku marah dengan ketidakprihatinanny a terhadapku.

Bila balik ke kampung, (rumah keluarga mertuaku), suamiku berubah perangai pula. Lebih matang dan sikap acuh tidak acuhnya kurang sedikit berbanding tika di rumah. Suatu malam, emak mendekatiku dan bertanya "Dah berapa bulan ana?" Soalan itu membuat aku terkedu. Baru tidak sampai sehari, emak sudah boleh tahu walaupun aku tidak beritahu sesiapa pun lagi.

"Rasa-rasanya baru 2 bulan lebih mak. Ana tak pergi klinik lagi." Jawabku perlahan.

"Dah beritahu abang?" Soal emak lagi. Saat itu terasa kelat tekakku. Bagaimana untuk memberitahu kalau suamiku itu asyik dengan perangainya.

"Kenapa tak cakap? Tak baik ana rahsiakan. Benih dia juga." Tegur emak. Aku terdiam. Ligat memikirkan jawapan yang pasti.

"Belum confirm lagi mak. Sebab tu tak cakap." Itu aje yang mampu aku luahkan. Hairan aku. Aku baru jumpa emak sehari, tetapi emak boleh tahu sedangkan suami yang tinggal denganku dan tidur sebantal saban malam tidak pula menyedari. Cuma dia selalu puji kata aku ini makin cantik sekarang.

Tika ini aku masih berkecil hati dengannya. Aku sedar, keadaanku sekarang menjadikan aku lebih sensitif dari biasa. Aku tidak memberitahu sebab aku ingin perhatikan sejauh mana keprihatinannya padaku. Aku sudah mula muntah-muntah, tapi dia masih tak perasan lagi. Katanya aku migrain. Geramnya rasa! Akhirnya kemarahan yang terpendam meletus juga malam-semalam.

" Ana dah dua bulan setengah dah!" Ujarku marah.

"Dua bulan setengah apa?" Dia mengerut dahi. Saat itu rasanya mahu meletup dada aku ini. Nak kata lembab, berdosalah pula cakap macam tu kat suami.

"abang ni betul-betullah sakitkan hati ana tau!" Marahku sambil memukulnya dengan bantal.

"apa pukul-pukul abang ni? Sakitlah!" Marahnya pula. Tiba-tiba sahaja aku menangis bila ditengking begitu.

"Yelah! Abang bukannya peduli pun kat ana ni. Pergi mana-mana, kalau keluar dengan abang, asyik nak jalan laju-laju. tarik ana ke sana sini. abang ingat ana ni anak patung ke?" Marahku lagi.

"Awak kan tahu abang tak suka lambat-lambat. Awak tu, jalan punyalah slow. Sekarang ni makin lama makin slow pulak. Abang tak suka pergi beli barang, jalan lambat-lambat , lepas tu nak menilik sana-sini. Rimas sungguh! Awak sendiri tahu kan?" Jelasnya.

"Senanglah abang cakap. Habis, abang nak suruh ana jalan laju-laju. Ingat senang ke nak jalan cepat-cepat waktu anak abang tengah besar dalam perut ni? Ana dah muntah-muntah pening kepala morning sickness pun abang buat tak tahu aje!" Marahku lagi. Dia terlopong. Kaku seketika. Direnung wajahku semahu-mahunya.

Aku terus menangis tanpa mempedulikannya. Hatiku rasa sakit sungguh.

" Sayang marah abang ke?" Dia menggenggam tanganku. Aku ingin lepaskan tetapi pegangannya terlalu kemas dan kejap.

"Abang minta maaf. Abang tak perasan. Sungguh abang tak perasan ana dah mengandung!" Pujuknya bersungguh-sungguh. Aku masih berkecil hati.

"Yelah. Kalau fasal ana, abang langsung tak ambil tahu. Langsung tak prihatin. Tapi kalau kehendak abang, semua ana turutkan. Nanti berdosa pulak lawan cakap suami. Tapi, kut iye pun janganlah buat ana macam tunggul kayu. Abang ingat ana ni ada kuasa psikik ke nak baca fikiran abang, terus boleh buat apa abang nak. Abang tak ada pun fikirkan perasaan ana, sampaikan kesihatan ana pun abang tak ambil peduli. Ana dah cukup bersabar dengan abang tau!" Luahku.

"Yelah, yelah. Abang minta maaf ye sayang." Senangnya lelaki mengungkap kata maaf setelah membiarkan aku terkontang-kanting begitu.

Aku biarkan rajukku bertamu di hati hingga ke saat ini. Dan dia benar-benar berusaha untuk memujukku. Aku biarkan sahaja. Biarlah dia pula belajar untuk melayanku. Semalam aku mengidam aiskrim pukul 1 pagi. Dalam keadaan mengantuk, dia pergi juga ke seven-eleven (dengan pakai kain pelikatnya) untuk dapatkan benda alah tu. Kesian tu memang ada. Tapi sengaja aku biarkan. Biar dia tahu, bukannya senang nak melayan perangai pasangan yang macam budak-budak. Lagipun, perempuan bukan selalunya dapat apa yang dihajati. Tetengah berisi ni baru le boleh nak demand-demand sikit. Ye tak?

Dari kaca mataku, aku rasakan lelaki ini tidak prihatin kepada keadaan sekitarnya, perasaan wanita di sisinya dan selalu memikirkan kehendak diri sendiri tanpa pedulikan perasaan orang lain. Mungkin orang akan kata, tak semua lelaki begitu.

Tapi rata-ratanya lebih kurang aje. Sikap diktator tu memang selalu ada. Terutamanya bila dah bergelar suami. Isteri ni memang dah jadi hak dia, tapi bukanlah macam barang. Isteri masih lagi manusia, punya hati dan perasaan. Jangan kerana ada title suami aje dah rasa besar sangat sampai nak kuasai semua dan ikut kehendak sendiri sampai lupa kita ini anak orang, bukannya anak kambing atau lembu yang boleh ditarik sesuka hati.

No comments:

Post a Comment