fb

Dec 13, 2010

RUMAHKU SYURGAKU

Dalam keghairahan negara untuk mencapai matlamat pembangunan bangsa yang maju dan dinamik yang bersendikan pembangunan sains dan teknologi, tidak dapat dinafikan akan berlaku  kesan-kesan sampingan atau pengaruhpengaruh negatif dari budaya asing yang boleh merosakkan anak muda serta
menggugat kestabilan dan kecemerlangan bangsa.

Gejala mungkar yang berlaku dalam masyarakat hari ini terutama di kalangan muda mudi seperti pergaulan bebas, penyalahgunaan dadah, mencuri, melepak, ‘vandalisme’ dan sebagainya adalah di antara bukti yang  jelas terhadap perlunya para ibu bapa berusaha menanganinya.


 Gejala-gejala seperti kerapuhan  pegangan agama, kekosongan jiwa, kekurangan daya pemikiran di kalangan muda mudi, krisis rumah tangga, perilaku anak-anak yang liar, tiada pegangan hidup, tidak menghormati orang tua, lebih suka kepada kebebasan mutlak dan keseronokan serta hanyut dalam
arus pengaruh kebudayaan  asing yang lebih banyak  merosakkan jiwa adalah akibat daripada kelonggaran disiplin dalam sistem kekeluargaan.

Sehubungan dengan itu Wawasan 2020 telah memberi penekanan penting mengenai perkara ini dengan menegaskan bahawa di antara cabaran-cabaran yang mesti diatasi bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang benarbenar berbudaya penyayang, adalah  sebuah sistem sosial yang lebih mementingkan masyarakat daripada diri sendiri, dengan kebajikan rakyatnya tidak diasaskan pada negara mahupun individu tetapi pada sistem kekeluargaan yang kukuh lagi mantap.

 Satu hal yang menjadi keyakinan  umum bahawa kebajikan seseorang insan adalah berpunca daripada sistem kekeluargaan yang berlandaskan agama.  Menerusinya akan wujudlah sebuah masyarakat yang berilmu, berakhlak dan berbudaya mulia yang kemudian akan membentuk satu sistem sosial yang
mantap dan dapat mendepani pelbagai cabaran.


Konsep dan falsafah “Rumahku Syurgaku”

Konsep dan falsafah bagi mencapai matlamat rancangan Rumahku Syurgaku ini adalah berasaskan keapda syariat Islam yang merangkumi segenap aspek kehidupan.  Di antara aspek-aspek yang ditekankan ialah membina kebahagiaan, meningkatkan daya intelek, mewujudkan suasana penghayatan Islam dan kedamaian dalam keluarga, penjagaan kesihatan, mewujudkan keselesaan dan
keindahan dalam rumah, mengamalkan perhubungan yang baik dan berkesan serta membina sifat penyayang dan toleransi di  kalangan anggota keluarga.

Rumahmu Syurgaku adalah satu wawasan negara yang berteraskan ajaran yang dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW.  Rumah tangga sebagai satu komponen utama dalam pembentukan sesebuah masyarakat mestilah disempurnakan melalui piawai yang bersesuaian dengan ajaran Islam yang mengimbangkan antara keperluan rohani dan jasmani manusia.

Bagi mencapai maksud syurga bagi sesebuah rumah tangga, maka semua petunjuk dan ajaran yang disebutkan perlulah diikuti dan dipatuhi dengan sebaik mungkin.  Hal ini memerlukan perancangan yang rapi dan sikap yang positif di mana sesiapa yang gagal memenuhi disiplin dan peraturan-peraturan tersebut, maka rumah tangganya belum berjaya mencapai tahap kebahagiaan sebagaimana yang dituntut oleh Islam. 

sumber:Majalah Sinar Rohani

No comments:

Post a Comment