fb

Jan 3, 2011

Rogol, Jangan Dipandang Ringan!

Seorang perogol telah disabitkan kesalahannya dan dihukum oleh Mahkamah Sesyen Klang dengan hukuman penjara selama 33 tahun dan sebat sebanyak 6 sebatan (Berita Harian 22 September 2006).

Timbalan Pendakwa Raya kes berkenaan, menyebut dalam ulasannya: Kes rogol semakin meningkat dan mahkamah perlu menjatuhkan hukuman berat sebagai peringatan, kita tidak bertolak ansur terhadap perbuatan ini.

Benar, kes ini tidak boleh dipandang ringan oleh masyarakat dan negara kerana ia adalah masalah keselamatan umum yang wajib ditangani secara berkesan oleh semua pihak yang terlibat pada semua peringkat; bermula dengan pendidikan, penghayatan agama dan budaya serta kawalan yang rapi adalah sesuatu yang mesti.

Biarpun melaksanakan hukuman ke atas pesalah adalah satu di antara cara untuk membenteraskan jenayah ini, tetapi ia sama sekali tidak akan berjaya menghapuskannya daripada akar umbinya selama manusia itu masih cenderung melakukannya dan tanpa menyedari bahawa ia adalah satu kesalahan berat di sisi agama dan undang-undang negaranya.

Pembentukan peribadi menerusi pendidikan berasaskan agama dan tatasusila masyarakat tempatan adalah suatu jalan keluar yang amat berkesan dan perlu diberi perhatian berat. Tanpa terbentuk dalam diri seseorang kegemaran dan kecintaannya kepada kebaikan, kebenaran dan nilai akhlak yang mulia, maka selama itu manusia akan sentiasa membekali dirinya dengan tindakan yang tidak berakhlak sepanjang usianya. Justeru, sistem pendidikan negara harus disemak semula kerana kelemahannya, setakat ini, membentuk generasi yang tidak berakhlak. Dilihat di mana salah dan silapnya? Di mana kecuaian di dalam perlaksanaannya?


Selain daripada itu, gejala masyarakat yang berlaku dan sedang melanda masyarakat remaja sekarang ini, yang disengajakan tidak sengajakan, disedari ataupun tidak disedari, sedang dihebohkan dan dihidangkan kepada mereka setiap hari menerusi pelbagai media, tidakkah ini merupakan alat pemusnah kepada pendidikan formal dan tidak formal yang telah kita usahakan selama ini? Umpama kita memilih benih yang baik, kemudiannya kita tanam, tetapi kita membiarkannya diracuni atau dimakan ulat, persekitaran dan penjagaan yang tidak diseliakan dengan baik, tidakkah ini satu mala petaka dan mensia-siakan usaha kita?

Gaya dan cara berpakaian muda mudi yang kian merangsang, kita biarkannya berterusan; tidakkah ini suatu galakan kepada apa yang sedang kita perangi sekarang ini? Justeru, agama Islam menghendaki umatnya berpakaian sopan atau menutup aurat. Ia adalah adab berpakaian yang wajib dipatuhi oleh semua kaum Muslimin. Dengan itu rangsangan-rangsangan seks dapat diredakan dan perlakuan sundal dapat dielakkan dan jenayah zina dan rogol dapat diatasi dan dihapuskan.

Jika apa berlaku berpunca daripada peruntukan undang-undang yang tidak mencekupi atau kerana terdapat beberapa kelemahannya, atau kerana penguatkuasaan kepada undang-undang itu tidak sempurna, mengapa kita tidak memikirkan untuk memindanya dengan peruntukan undang-undang baru dan cara perlaksanaannya yang lebih berkesan? Kenyataan Timbalan Pendakwa Raya kes di atas adalah suatu pernyataan telus kepada keadaan sebenar tentang kelemahan undang-undang yang sedia ada.

Dalam Undang-undang Jenayah Islam, peruntukan kesalahan rogol adalah termasuk ke dalam kesalahan zina; kesalahan zina adalah sebahagian daripada kesalahan hudud. Kesemua peruntukan dalam kesalahan tersebut telah sabit menerusi nas al-Qur'an dan Sunnah dan dilaksanakan Baginda s.a.w. semasa hayatnya. Ia adalah peruntukan Allah dan RasulNya yang kita sama-sama yakini akan keadilannya.

Dalam peruntukannya, seorang pesalah yang disabitkan dengan kesalahan ini wajib menjalani hukumannya tanpa mengira kedudukan di mata masyarakat atau agamanya. Hukuman sebat seratus kali jika pesalah yang belum lagi berkahwin (surah al-Nur, 24:2) atau hukuman rejam sampai mati jika pesalah sudah berkahwin (al-Hadith). Sebagai warga negara ini, adakah peruntukan ini tidak perlu kita perhatikan? Sementara itu, jika kita secara jujur ingin menangani kemelut yang kita hadapi, adakah kita juga perlu mengambil iktibar dengan pengalaman negara-negara yang sedang mengamalkannya seperti Arab Saudi dan lain-lain? Apakah yang dapat kita lakukan dengan undang-undang yang sedia ada yang ternyata tidak berkesan dalam menangani persoalan ini?

Persoalannya, adakah kita merasa kejam dengan hukuman mati yang dijatuhkan ke atas perogol jika dia dapat disabitkan sebagai bersalah? Wajarkah kita hanya bertahan dengan hukuman denda dan penjara biarpun mangsa rogol bukan sekadar di rogol tetapi dibunuh? Menurut agama Islam nyawa tetap dibalas dengan nyawa (surah al-Ma'idah, 5:45). Adakah salah kita mengadakan peruntukan hukuman mati ke atas pesalah rogol?

Kita tidak seharusnya memandang rendah terhadap apa-apa undang-undang kerana semata-mata ia undang-undang bagi sesuatu kaum, jika ia memberi kesan yang kita mahukan untuk generasi sekarang dan akan datang. Pindaan yang dicadangkan tidak perlu diwarnai dengan apa-apa warna bangsa dan agama, jika warna itu boleh menimbulkan isu, tetapi ia dilakukan dengan berdasarkan keperluan yang mendesak. Justeru, Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah), semakan 1986, perlu disemak semula untuk memberi kuasa yang lebih tinggi kepada Mahkamah Syariah dalam usaha menangani jenayah-jenayah berat termasuk jenayah rogol.

Semoga bulan Rahmat ini dapat memberi hidayah dan juga kekuatan kepada kita semua rakyat Malaysia dalam menyelesaikan persoalan jenayah rogol yang kian parah sekarang ini.

No comments:

Post a Comment