fb

Jan 4, 2011

Hak Wanita dalam Memilih Pekerjaan

Wanita sering digambarkan sebagai kaum yang lemah dan senantiasa memerlukan bantuan kaum lelaki dalam segenap hal. Wanita dilihat sebagai kaum yang tidak mempunyai kebolehan di dalam sebarang bidang pekerjaan sehinggakan wujud penyataan bahawa wanita hanya sesuai berada di ceruk dapur sahaja! 

Bagaimanapun, perlu difahami bahawa salah satu perkara utama sekali gus prinsip asas dalam ajaran Islam adalah persamaan antara manusia, baik antara lelaki dan wanita mahupun antara bangsa, suku dan keturunan. Perbezaan yang diukur dan kemudian meninggikan atau merendahkan seseorang hanyalah nilai pengabdian dan ketakwaannya kepada Tuhan Yang Maha Esa.

Kedudukan wanita dalam pandangan ajaran agama Islam tidak sebagaimana diduga atau dikhabarkan oleh masyarakat bukan Islam mahupun masyarakat Islam sendiri yang tidak begitu memahami ajarannya. Ajaran Islam pada hakikatnya memberikan perhatian yang sangat besar serta kedudukan yang tinggi terhadap wanita.

Muhammad Al-Ghazali, salah seorang ulama besar Islam kontemporari menulis: "Jika dikembalikan pandangan ke masa sebelum seribu tahun, maka kita akan menemui wanita yang menikmati keistimewaan dalam pelbagai bidang yang asing bagi wanita-wanita di kelima-lima benua dunia. 

Keadaan mereka ketika itu lebih baik dibandingkan dengan keadaan wanita-wanita Barat dewasa ini, waima kebebasan dalam berpakaian serta pergaulan tidak pernah dijadikan bahan perbandingan." 




Terlalu banyak faktor yang telah mengkaburkan keistimewaan serta memerosotkan kedudukan wanita kini. Antaranya adalah kedangkalan pengetahuan agama sehinggakan nama baik agama Islam sering sahaja disamakan dengan keganasan dan penindasan hak oleh pihak-pihak yang berkepentingan.

Al-Quran di dalam ayatnya banyak berbicara tentang wanita. Ayat-ayat tersebut mencakupi pelbagai aspek kehidupan wanita khasnya. 

Terdapat ayat yang berbicara tentang hak dan kewajibannya, ada pula yang menghuraikan keistimewaan-keistimewaan tokoh-tokoh wanita dalam sejarah agama atau kemanusiaan.

Jika diteliti perihal penglibatan wanita di dalam bidang pekerjaan pada zaman kebangkitan Islam, tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa Islam membenarkan mereka aktif dalam pelbagai aktiviti pekerjaan. Para wanita dibenarkan bekerja dalam pelbagai bidang di dalam atau di luar rumah dengan syarat pekerjaan tersebut dilakukannya dalam suasana terhormat, sopan, serta senantiasa memelihara agamanya dan menghindari daripada perkara-perkara negatif dari pekerjaan tersebut terhadap diri dan persekitarannya.




Pekerjaan dan aktiviti yang dilakukan oleh kaum wanita pada zaman Rasulullah s.a.w tidak langsung menunjukkan sebarang bentuk diskriminasi wujud di antara lelaki dan wanita. Sehinggakan mengikut sirah, wanita juga turut sama secara langsung terlibat dalam peperangan berjihad fisabilillah dengan kaum lelaki. Nama-nama seperti Ummu Salamah (isteri Rasulullah), Shafiyah, Laila Al-Ghaffariyah, Ummu Sinam Al-Aslamiyah dan lain-lain, tercatat sebagai tokoh-tokoh yang terlibat dalam peperangan. 
Dalam bidang perdagangan, nama isteri Rasulullah s.a.w, Khadijah binti Khuwailid, tercatat sebagai seorang ahli perniagaan yang sangat berjaya. Demikian juga Qilat Ummi Bani Anmar yang pernah datang kepada Rasulullah untuk meminta tunjuk ajar baginda dalam bidang jual-beli. 

Isteri Rasulullah s.a.w., Zainab binti Jahsy, tidak terkecuali di dalam berkerjaya. Beliau digambarkan sebagai wanita yang sangat aktif dalam melakukan pelbagai pekerjaan sehinggakan diriwayatkan bahawa beliau pernah menyamak kulit binatang dan kemudian hasil usahanya itu disedekahkan. Raithah, isteri sahabat Rasulullah, Abdullah ibn Mas´ud, sangat aktif bekerja bagi membantu suami dan anaknya ketika itu menyara kehidupan mereka sekeluarga. 
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Sebaik-baik ´permainan´ seorang perempuan Muslimah di dalam rumahnya adalah memintal/menenun. ” (Hadis riwayat Abu Nu´aim dari Abdullah bin Rabi´ Al-Anshari).

Aisyah r.a. diriwayatkan pernah berkata: "Alat pemintal di tangan perempuan lebih baik daripada tombak di tangan lelaki."

Sudah tentu tidak semua bidang pekerjaan yang terdapat pada masa kini telah wujud pada zaman Rasulullah s.a.w. Namun, sebagaimana yang telah dihuraikan sebelum ini, para ulamak menyimpulkan bahawa wanita dibenarkan melakukan sebarang bentuk pekerjaan dan bidang selama norma-norma agama dan tatasusila tetap dipelihara.

Dengan ilmu pengetahuan dan ketrampilan yang dimiliki oleh setiap individu, termasuk kaum wanita, mereka mempunyai hak yang sama rata dengan kaum lelaki untuk bekerja dan menduduki sebarang jawatan tertinggi. 

Namun demikian, menurut beberapa pendapat daripada para ulamak, hanya dua jawatan sahaja dikatakan tidak sesuai dijawat oleh kaum wanita, iaitu sebagai pemimpin tertinggi negara (Al-Imamah Al-´Uzhma) dan hakim. Namun, perkembangan di dalam masyarakat dari masa ke semasa menolak pendapat tersebut khususnya persoalan mengenai kedudukan perempuan sebagai hakim.

Tentunya masih banyak lagi yang dapat dikemukakan bersangkut dengan hak-hak kaum wanita dalam lapangan pekerjaan ini. Namun, kesimpulan akhir yang dapat dibuat adalah wanita, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w., adalah Syaqa´iq Al-Rijal (saudara-saudara sekandung kaum lelaki) kerana kedudukannya serta hak-haknya hampir sama dengan kaum lelaki. 

Kendatipun ada yang membezakan, namun, itu hanyalah kerana fungsi dan tugas-tugas utama yang diperintahkan oleh Allah s.w.t kepada kaum lelaki dan wanita. Walaupun begitu, tidak bermakna Allah s.w.t melebihkan yang satu dan mengurangkan yang lain kerana Allah s.w.t Maha Adil terhadap setiap hamba-hamba-Nya tidak kira lelaki mahupun wanita.
Firman-Nya yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain, kerana bagi lelaki ada bahagian dari apa yang mereka peroleh (usahakan) dan bagi perempuan juga ada bahagian dari apa yang mereka peroleh (usahakan) dan mohonlah kepada Allah dari kurnia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (An-Nisa´: 32)

No comments:

Post a Comment