fb

Apr 6, 2013

Fenomena nikah gantung.

Alhamdulillah, Segala puji bagi Allah
S.W.T, Pemilik alam keseluruhannya.
Selawat dan salam ke atas junjungan
besar kita, Nabi Muhammad S.A.W,
Rasul-Nya dan penutup para nabi
Allah.
Mukadimah
Kebelakangan ini, sering ternampak
di laman-laman sosial, laman-laman
tarbiah, blog dan bermacam medium
maklumat artikel berkaitan Nikah
Gantung atau lebih dikenali oleh
masyarakat zaman kini sebagai Nikah
Khitbah. Namun sepanjang
pemerhatian saya mengenai Nikah
Khitbah ini, jarang saya temukan
artikel yang membicarakan secara
terperinci mengenai perbahasan
hukum di sebalik ‘Nikah Khitbah’
Istilah ‘Nikah Khitbah’ terdiri daripada
dua perkataan, iaitu Nikah dan
Khitbah. Nikah sepertimana yang kita
semua sedia maklum secara
umumnya ialah menghimpunkan
seorang lelaki dan seorang wanita di
dalam satu ikatan atau akad yang
syarie. Manakala ‘Khitbah’ secara
umumnya pula merujuk kepada
pertunangan. Timbulnya penamaan
ini kerana adat orang Arab di negara
Jordán khususnya mengistilahkan
perkahwinan dengan akad tanpa
walimah sebagai ‘Khitbah’. Dan
pernikahan seperti ini tidak silap
saya terkenal di kalangan orang
Melayu sebagai nikah gantung.
WaAllahua3lam.
Nikah Khitbah BUKAN Sejenis
Pernikahan?
Ya! Mari kita jadikan artikel ini sedikit
santai. Nikah Khitbah bukanlah
sejenis pernikahan. Tidak seperti
Nikah Misyar yang menggugurkan
beberapa hak isteri dengan kerelaan
isteri, Nikah Mutaah yang berasaskan
kontrak, Nikah Syighar yang
digugurkan daripadanya syarat akad
yang sahih seperti pengguguran
mahar atau jenis-jenis pernikahan
yang lain.
Adapun Nikah Khitbah ini sebenarnya
ialah sebahagian fasa daripada
perkahwinan biasa. Perkahwinan
dengan akad yang sahih serta cukup
syarat-syaratnya. Ringkasnya, Nikah
Khitbah ini ialah satu istilah yang
dinamakan (di-itlak-kan) kepada fasa
pertama perkahwinan. Fasa pertama
perkahwinan?
Fasa-Fasa Perkahwinan
Fasa perkahwinan ini saya mulakan
daripada termeterainya akad
perkahwinan. Andaikan perkahwinan
ini seperti seutas tali. Hamparkan
dan tandakan kepada 3 bahagian.
Mula, tengah dan penghujung. Mula
ialah akad, tengah ialah nafkah,
manakala akhir letakkan syurga
sebagai doa [insyaAllah]. Setelah
dibahagikan begini, akan terdapat 2
bahagian. Bahagian pertama ialah
antara akad dan nafkah (iaitu mula
dan tengah), dan bahagian kedua
ialah nafkah dan syurga (tengah dan
penghujung). Bahagian pertama saya
namakan sebagai Fasa Pertama, dan
bahagian kedua saya namakan Fasa
Kedua. Pada Fasa Pertama inilah
yang dinamakan oleh sebahagian
besar kita sebagai Nikah Khitbah
ataupun nikah gantung.
Kenapa Perlu Berfasa-fasa Pula?
Mungkin ada tertanya kenapa perlu di
asingkan kewajiban nafkah daripada
akad. Bukankah dengan berlakunya
akad, maka nafkah pun menjadi wajib
ke atas suami? Dalam satu pendapat
fiqh yang bermazhab zohiri, ya.1
Tetapi, ulama’ mazhab yang empat
telah meletakkan beberapa syarat
yang mesti dipenuhi sebelum
kewajiban nafkah itu beralih kepada
suami. Ini berdalilkan perbuatan
Rasulullah S.A.W. selepas Baginda
mengahwini Saidatina Aisyah R.A..
Baginda tidak menafkahi Saidatina
Aisyah dengan kewajiban nafkah ini
sehingga berlalu beberapa tahun usia
perkahwinan Baginda dan Saidatina
Aisyah.2 Iaitu selepas Baginda
mendatangi Saidatina Aisyah R.A.
serta saidatina berpindah untuk
tinggal bersama Baginda, Rasulullah
S.A.W ketika berusia 9 tahun.
Selain itu, antara faktor yang
menyebabkan ulama’ meletakkan
syarat-syarat yang perlu dipenuhi
untuk berpindah nya kewajiban
nafkah itu ke atas suami ialah
permasalahan Nusyuz. Kerana nafkah
itu digugurkan dengan sebab
berlakunya nusyuz, sedangkan ketika
ini akad masih lagi wujud antara
suami dan isteri. Maka dengan itu,
akad dan nafkah dipisahkan. Dalam
erti kata lain, sempurnanya akad
tidak lagi mewajibkan nafkah.
Syarat Wajib Nafkah
Saya kira, para pembaca telah jelas
mengenai dua fasa pernikahan yang
telah saya nyatakan di atas. Dalam
beberapa pembacaan yang saya
lakukan, saya temukan beberapa
pecahan yang membincangkan
pendapat ulama’ mazhab dalam
permasalahan ini. Saya akan
dahulukan penerangan yang
dibawakan dalam kitab Fiqh Sunah –
Sayid Sabiq – dalam permasalahan
ini, kemudian diikuti pecahan yang
saya dapati dalam kitab Mausu3h Al-
Fiqhiyah Al-Kuwaitiyah. InsyaAllah.
Dalam kitab Fiqh Sunah, pengarang
meletakkan 5 syarat yang mesti
dilengkapi, disempurnakan untuk
diwajibkan nafkah
1) Mestilah akad nikah itu akad yang
sahih.
2) Suami mampu untuk berseronok
dengan isteri.
3) Mestilah suami dan isteri itu dari
ahli istimta’.
4)Isteri mestilah menyerahkan dirinya
kepada suaminya.
5) Isteri menahan dirinya dari
berpindah, mengikut apa yang
dikehendaki suami. Melainkan, suami
menginginkan keburukan kepada
isteri dengan perpindahan itu.
Berkata lagi pengarang; Jika tidak
lengkap satu syarat daripada syarat-
syarat ini, maka nafkah itu tidak
wajib.3 WaAllahua3lam.
Seterusnya dinyatakan dalam Kitab
Mausu3ah Fiqhiyah Al-Kuwaityah
bahawa ulama’ telah berselisih
pendapat dalam menyatakan sebab-
sebab wajib nafkah ke atas isteri oleh
suami. Adakah diwajibkan dengan
akad semata ataupun akad bersama
tamkin dan penyerahan yang
sempurna? Padanya tiga pendapat
dan dijelaskan pendapat kebanyakan
ahli fiqh – jumhur fuqaha – Hanafiah,
Syafiyah dan Hanabilah ialah:
1) Mestilah seorang wanita yang
dewasa atau mampu untuk didatangi.
2) Hendaklah isteri menyerahkan
dirinya kepada suaminya bila-bila
masa yang diminta. Melainkan kerana
uzur syarie. – Penyerahan yang
sempurna, tamkin tam-
3) Mestilah nikah itu sahih bukan
fasad –tidak sah, yakni tidak
sempurna-.
Kemudian dijelaskan beberapa
perkara seperti berikut:
1) Anak perempuan muda yang tidak
mampu untuk didatangi, maka tiada
nafkah padanya.
2) Dan jumhur ulama’ tidak
mensyaratkan baligh ke atas suami
sebagai syarat wajib ke atasnya
nafkah. Bahkan diwajibkan ke atas
anak lelaki muda nafkah kepada
isterinya ketika sempurna syarat-
syarat yang telah disebutkan.4
WaAllahua3lam.
Tamkin : ialah penyerahan diri secara
sempurna, sama ada dengan
menyerahkan dirinya atau dengan
menzahirkan kesediaan untuk
menyerahkan dirinya kepada
suaminya di mana dia (isteri) tidak
menghalang ketika diminta oleh
suami. Sama ada didatangi suaminya
atau tidak. Dan sama ada isteri
mahupun walinya yang meminta
untuk bersama atau tidak.5 Manakala
dalam syarah yang lain dinyatakan
tamkin, yakni penyerahan mestilah
sempurna. Dan tidak dikira akan ia
jika penyerahan itu berlaku
semalaman sahaja (tidak sempurna),
atau di tempat tertentu. Maka tiada
nafkah ke atasnya.6
Ringkasan dan Kesimpulan
Secara keseluruhannya, dapat
dinyatakan bahawa Nikah Khitbah ini
adalah sebahagian daripada proses
pernikahan yang biasa dilakukan.
Cuma kurang difahami secara umum,
kerana kebanyakan daripada kita
menganggap dengan berlakunya akad
antara lelaki dan wali perempuan,
maka diwajibkan bersama ia nafkah
isteri ke atas suami. Dan
permasalahan ini sebenarnya telah
dibincangkan oleh ulama’ terdahulu,
cuma tidak dikhususkan istilah
seperti yang dilakukan pada zaman
ini, melalui istilah Nikah Khitbah.
Namun perlu diingatkan, semasa
proses akad, mahar adalah
diwajibkan. Kerana ia adalah hak
harta isteri yang wajib kepada
isterinya2-7 semasa proses akad
(dengan beberapa penjelasan).
Nafkah pula menurut ulama’ mazhab
memerlukan kepada beberapa syarat
yang mesti dipenuhi sebelum
menjadi wajib ke atas suami.
Penutup
Artikel ini tidaklah membincangkan
secara keseluruhan mengenai
permasalahan ini, lebih tertumpu
kepada syarat-syarat wajib nafkah.
Secara ringkas. Segala kekurangan
dalam artikel ini amatlah dikesali.
Sebarang teguran boleh diajukan
terus kepada saya, insya-Allah. Moga
dengan artikel terdapat sedikit
sebanyak manfaat bersama.
WaAllahua3lam.
Wan Syafirdaus Hariz bin Wan
Badarudin
Tahun 2 Ijazah Pengajian Islam,
Universiti Sidi Mohamed Ben
Abdellah,

No comments:

Post a Comment