fb

Jan 4, 2011

Hantaran Bukan Alasan Lambat Kahwin

Tanggungjawab sebelum dan selepas berumah tangga telah digariskan oleh Allah untuk setiap pasangan yang yang bakal melangkah ke alam baru itu. Ini berdasarkan pengertian nikah iaitu perjanjian antara lelaki dengan perempuan bagi menghalalkan hubungan kelamin dengan kaedah dan syarat tertentu yang berbentuk kekal (Memasuki Gerbang Perkahwinan – buku terbitan JAKIM). Maka dengan pengakuan akad ini mereka perlu memikul tanggungjawab yang telah ditentukan bagi memastikan keharmonian keluarga berkekalan. Oleh hal yang demikian, tanggungjawab merupakan elemen yang terpenting bagi pasangan terutama bagi pihak lelaki untuk berkahwin – bukannya secara total menyangkut hal hantaran perkahwinan sahaja.





“Saya belum menerima sebarang aduan yang menunjukkan punca lelaki lewat kahwin kerana hantaran tinggi pihak perempuan sehingga membebankan mereka berumah tangga,” kata Mufti Perak, Datuk Seri Dr Harussani Zakaria (sumber internet).

Alasan menyatakan hantaran perkahwinan merupakan faktor lelaki takut untuk meminang perempuan adalah tidak benar kerana kita dapat menilai sama ada lelaki tersebut sudah mampu atau tidak untuk memikul tanggungjawab sebagai ketua rumah tangga baik dari segi fizikal, mental, kewangan dan sekali gus orang yang bertanggungjawab mencari dan memberikan nafkah. Jika wang hantaran tidak mampu untuk disediakan, bagaimana nanti jadinya perbelanjaan harian keluarga.




Duit hantaran amat diperlukan, bukan untuk menekan dan menakutkan lelaki. Mereka harus berfikir bahawa duit hantaran tersebut bukan digunakan untuk bersronok, tetapi sebaliknya digunakan untuk persiapan atau persediaan kenduri-kendara yang tentunya memakan belanja yang besar, juga sebagai persediaan sesudah memasuki alam rumah tangga.

Mungkin ada sesetengah pasangan yang kenduri-kendara mereka ´ditaja´ oleh keluarga dan tidak menggunakan duit hantaran yang diberikan. Sebaliknya, duit hantaran tersebut digunakan untuk membeli perkakas atau perabot rumah, atau mungkin juga sebagai wang pendahuluan membeli kereta atau rumah. Oleh hal yang demikian, duit hantaran yang diberikan oleh pihak lelaki kepada pihak perempuan akan dapat dimanfaatkan bersama. Maka, tidak timbul persoalan yang menyatakan bahawa duit hantaran merupakan punca ramai wanita dan lelaki lambat berkahwin atau lelaki takut untuk berkahwin.

Masih banyak faktor yang menjadi punca lelaki tidak masuk meminang atau lambat berkahwin. Antaranya, lelaki lebih seronok untuk hidup membujang kerana mereka lebih suka pada hiburan dan hidup bebas tanpa terikat pada tanggungjawab yang akan dipikul apabila mereka berkahwin kelak. Malahan ada sesetengah lelaki yang suka berfoya-foya. Selain itu, faktor pendidikan juga menjadi punca lelaki takut untuk berkahwin disebabkan merasa berasa rendah diri jika pasangan mereka lebih tinggi tahap pendidikannya. Jadi tidak timbul soal duit hantaran menjadi penyebab utama lelaki takut untuk masuk meminang.




Soal hantaran yang dikatakan menjadi punca lelaki takut masuk meminang sekali gus menyebabkan kadar perkahwinan di negara kita menurun tidak perlu diperbesarkan kerana masalah ini tidak begitu serius jika dibandingkan dengan masalah sosial yang lain. Perkara ini adalah di dalam lingkungan perbincangan antara keluarga lelaki dengan keluarga perempuan. Ini merupakan hak individu serta perlu ada kata sepakat setelah dipertimbangkan daripada kedua-dua pihak kerana masing-masing mempunyai alasan dan kepentingan tersendiri mengenai soal duit hantaran.

Apa yang penting sekarang ialah bagaimana memastikan hubungan yang akan dibina berkekalan dan pasangan yang mendirikan rumah tangga perlu lebih dahulu bersedia dan sentiasa memelihara hubungan agar tidak melanggar batas agama dan susila serta bertolak ansur, bertimbang rasa dan sentiasa bertawakal kepada Allah s.w.t. Ini berdasarkan keyakinan kita bahawa Allah akan membantu hamba-Nya yang memerlukan pertolongan dalam melakukan kebaikan atau kebajikan. Dan perkahwinan adalah antara perkara baik yang diredai Allah s.w.t.

No comments:

Post a Comment